Lufya Teruja Bakal Timang Anak Perempuan




Penyanyi Lufya yang kini hamil lapan bulan memberitahu bakal menimang cahaya mata perempuan pada awal November depan.

Lufya, 32, berkata, dia dan suaminya iaitu Che Muhammad Hafiz juga sudah mempunyai nama untuk diberikan kepada bayi berkenaan.

"Insya-Allah bayi perempuan dan dijangka lahir pada awal November depan. Sekarang saya dan bayi dalam kandungan sihat.

"Suamilah yang paling teruja kerana dia memang inginkan bayi perempuan. Kami juga sudah memilih nama untuk bayi itu dan akan diumum selepas dia lahir," ujarnya.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar pada majlis baby shower yang diadakan di kediamannya, dekat sini, pada Sabtu.

Majlis berkenaan turut dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan selebriti seperti Yatt Hamzah, Irma Hasmie dan Adam Corrie.

Lufya dan Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 27, berkahwin pada 26 November 2016.

Bekas peserta Akademi Fantasia 6, ini mengakui, semakin berdebar menanti saat-saat yang paling bermakna dalam hidupnya itu.

"Sudah tentu perasaan berdebar dan takut makin kuat, sebab itu saya buat majlis ini semoga ada aura-aura positif yang datang dan menceriakan saya.

"Semua persiapan sudah siap dilakukan, cuma tinggal belum kemas untuk barang kecemasan nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan membuka akaun media sosial untuk bayi berkenaan seperti yang dilakukan artis lain, Lufya berkata, dia belum terfikir untuk perkara itu.

Katanya, dia mahu bayi berkenaan membesar dalam keadaan yang sihat dan tidak terlalu didedahkan dengan perkara negatif pengaruh media sosial.

"Saya belum rasa ada keperluan untuk buka akaun media sosial untuk bayi saya.

"Apa yang saya ingin kongsi boleh dimuat naik di akaun media sosial saya sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang kejadian jatuh pentas minggu lalu, Lufya berkata, dia kini sudah berehat sepenuhnya daripada aktiviti seni.

Katanya, perkara buruk yang berlaku itu di luar jangkaan dan dia turut bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan. - Apakes

Lufya Teruja Bakal Timang Anak Perempuan Lufya Teruja Bakal Timang Anak Perempuan Reviewed by Lina Slayer on 21:40:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.