Mangsa Dera Diserah Sementara Kepada Bapa Kandung




KUANTAN - Mahkamah Khas Kanak-Kanak, di sini membenarkan perintah jagaan sementara kanak-kanak berusia 10 tahun yang didera dengan lehernya dirantai pada tong gas di Indera Mahkota, Khamis lalu, kepada bapa kandungnya selama sebulan bermula hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan dilakukan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zalina Yusoff.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu hadir ditemani bapa kandung, ibu tiri dan abang sulungnya.

Dalam tempoh sebulan itu, Zalina berkata, pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh bagi mendapatkan hak penjagaan kekal mangsa dan adik beradiknya yang lain.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota, di sini.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan bapa tiri mangsa yang dikatakan tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Bapa tiri mangsa yang bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, dekat sini, ditahan reman bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Kanak-kanak berkenaan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan keadaannya semakin stabil serta tiada kecederaan serius dilaporkan. - Apakes
Mangsa Dera Diserah Sementara Kepada Bapa Kandung Mangsa Dera Diserah Sementara Kepada Bapa Kandung Reviewed by Lina Slayer on 15:02:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.