Maut Tertusuk Besi Pembahagi Jalan




JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut tertusuk besi pembahagi jalan selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Bakar Batu-Jalan Pantai, Permas Jaya, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata dalam kejadian jam 6.57 pagi itu, Too Kim Seng, 56, yang memandu bersendirian maut di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terlanggar besi pembahagi jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di perut berikutan tertusuk besi pembahagi jalan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, sistem jalan di tempat kejadian adalah dua lorong sehala dan dipisahkan penghadang besi pembahagi jalan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Jasni Saidin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.07 pagi sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tertusuk besi penghadang menerusi pintu tempat duduk belakang," katanya. - Apakes
Maut Tertusuk Besi Pembahagi Jalan Maut Tertusuk Besi Pembahagi Jalan Reviewed by Lina Slayer on 14:02:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.