Pegawai Bank Ditahan Pecah Amanah RM3.46j




JOHOR BAHRU - Seorang pegawai sebuah bank di bandar raya ini ditahan polis selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah amanah dan penyelewengan bernilai RM3.46 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata suspek 28 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

Katanya, polis menerima laporan berkaitan satu penyelewengan barangan, gadaian emas pelanggan yang membabitkan pegawai di sebuah institusi kewangan tempatan pada jam 10.23 malam, Khamis lalu.

"Polis membuat tindakan susulan dengan segera terhadap laporan polis itu dan kira-kira sejam selepas itu polis berjaya menahan suspek di sekitar bandar raya ini.

"Suspek seorang lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai individu yang melakukan kesalahan pecah amanah jenayah berkenaan.

"Susulan penahanan lelaki itu, polis berjaya menemui semula dan merampas barang kemas bernilai hampir RM2 juta yang digadai suspek di beberapa premis pajak gadai dan institusi kewangan sekitar bandar raya ini dan Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

"Suspek dijangka dituduh di mahkamah di sini esok mengikut kesalahan Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga ingin menasihatkan kepada institusi kewangan dan syarikat untuk membuat pemeriksaan yang lebih ketat terhadap pekerja mereka terutamanya membabitkan transaksi kewangan serta barangan berharga.

"Institusi kewangan juga perlu tegas dalam kawalan prosedur kerja, pengauditan syarikat dan sebagainya supaya tidak mudah berlaku kejadian kes pecah amanah jenayah membabitkan kakitangan mereka," katanya. - Apakes
Pegawai Bank Ditahan Pecah Amanah RM3.46j Pegawai Bank Ditahan Pecah Amanah RM3.46j Reviewed by Lina Slayer on 03:35:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.