Permohonan Reman Ditolak




BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret di sini hari ini, menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman terhadap seorang ahli perniagaan yang disiasat berhubung kes penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar membenarkan ahli perniagaan itu dan tiga lagi individu lain berusia antara 30 hingga 45 tahun yang disiasat dalam kes sama, dibebaskan hari ini.

Peguam yang mewakili semua suspek, Faizul Mohd Nasir ketika ditemui, berkata pihaknya memohon mahkamah menolak permohonan reman terhadap anak guamnya memandangkan semua mereka sudah direman di beberapa mahkamah sebelum ini.

"Anak guam saya akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah sebelum dibebaskan hari ini," katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan yang memakai baju lokap berwarna jingga itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada jam 10.30 pagi.

Sebelum ini, ahli perniagaan itu dibawa ke Balai Polis Bukit Indah, Ampang pada 2 Oktober lalu kerana disyaki terbabit dalam penipuan jualan rumah yang membabitkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

Sehingga kini, 210 laporan berhubung penipuan skim perumahan syarikat berkenaan diterima polis daripada mangsa di seluruh negara dan difahamkan satu daripadanya di Pulau Pinang.

Sebelum ini, ahli perniagaan berusia 37 tahun itu pernah direman di Ampang, Shah Alam, Selangor; Muar, Johor; Sungai Petani dan Kubang Pasu, Kedah serta Kangar, Perlis. - Apakes

Permohonan Reman Ditolak Permohonan Reman Ditolak Reviewed by Lina Slayer on 16:01:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.