Polis Nafi Pergaduhan Kaum Di Ipoh




IPOH - Tiada sebarang insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku Tambun di sini, sehingga menyebabkan seorang lelaki putus tangan sebagaimana video yang viral di laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kejadian itu sebagaimana dilaporkan di media sosial kononnya berlaku pergaduhan kaum di sini.

Katanya, polis turut menafikan gambar yang menunjukkan seorang mangsa putus tangan serta komen yang mengatakan video berkenaan disebabkan pergaduhan antara kaum Cina dan Melayu.

"Kejadian dalam gambar dan video yang menjadi viral bukan kes yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Bagaimanapun, Chang Keong berkata, polis menerima dua laporan di dua lokasi berasingan di Taman Ipoh berhubung isu pergaduhan pada Ahad lalu.

"Kes pertama membabitkan kecederaan terhadap seorang wanita yang diserang sekumpulan lelaki dan seorang wanita di hadapan sebuah bank di Taman Ipoh sebelum mangsa membuat laporan polis pada jam 1.30 pagi.

"Susulan kejadian itu, seorang lagi wanita turut diserang sekumpulan lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Ipoh sebelum membuat laporan polis satu jam kemudian.

"Kedua-duanya mendapat kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala, kaki dan leher," katanya.

Chang Keong berkata, siasatan kejadian itu masih dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau menggunakan gambar dan video berkenaan. - Apakes

Polis Nafi Pergaduhan Kaum Di Ipoh Polis Nafi Pergaduhan Kaum Di Ipoh Reviewed by Lina Slayer on 13:05:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.