"Saya Tak Pandai Duduk Diam" - Yazit Ahmad




Pengasas dan pemain dram kumpulan Rampage, Yazit Ahmad mengakui masih berupaya meneruskan karier seninya dan bersedia untuk bergerak aktif bagi mempromosi album pertama mereka berjudul Rampage Rempuh yang dilancarkan Rabu lalu.

Pada Julai lalu, Yazit, 55, yang mengalami masalah buah pinggang dimasukkan ke sebuah hospital di Brunei akibat semput ketika menung­gu penerbangan pulang ke Malaysia.

Pada awal September pula, Yazit yang juga pengasas kumpulan Search kemudian dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah jangkitan kuman dalam perut.

Yazit ketika ditemui berkata, dia tidak pandai duduk diam dan perlu mengeluarkan album supaya dapat mengisi kehidupannya dengan aktiviti.

“Saya tidak boleh duduk termenung begitu saja dan hanya memikirkan mengenai sakit yang dideritai. Apabila ada album baru, sekurang-kurangnya saya dapat bergerak ke sana ke mari berjumpa pelbagai pihak.

“Banyak perkara yang dapat saya lakukan antaranya berkongsi pengalaman dengan pemuzik dan peminat serta bercerita berkenaan album ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah menyediakan pelan promosi album ini terlebih awal bagi mengelak sebarang kesukaran terhadap semua pihak.

“Saya hanya perlu menjalani dialisis selama tiga hari seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu dari jam 6 pagi hingga 11 pagi.

“Jadi, sebaik selesai proses ini pada Sabtu, saya sudah boleh bergerak ke mana-mana termasuk luar Kuala Lumpur untuk sesi promosi album dan membuat per­sembahan bersama Rampage,” katanya.

Yazit berkata, sekira­nya berlaku perkara di luar jangkaan, dia tidak perlu bimbang kerana anggota Rampage iaitu Moq (pe­nyanyi), Rithan (gitar), Zham (bass) dan Jemboo (gitar) memahami situasinya dan bersedia membantu.

“Saya memuji mereka yang amat sabar dengan masalah saya. Tidak pernah kedengaran sebarang rungutan sepanjang mereka bersama saya.

“Malah, kesabaran mereka menunggu album ini selama 17 tahun sehingga dipasarkan sekarang menjadi bukti mereka berjiwa besar,” katanya.

Album Rampage Rempuh edisi pertama memuatkan lima lagu iaitu Torpedo, Selimuti Hawa, Hipokritik, Apa Mahu Mu dan Rempuh.

Ketika itu anggota yang ditampilkan ialah Yazit (dram), Moq (penyanyi), Shah (gitar), Zham (bass) dan Cha’ah (gitar). Bagaimanapun, Shah dan Cha’ah ada karier sendiri dan berundur daripada Rampage.

“Album ini dibuat dalam bentuk dua edisi dengan edisi kedua akan dikeluarkan pada awal tahun depan.

“Lagunya disiapkan sejak 17 tahun dulu, tanpa sebarang proses rakaman atau mastering terbaru, namun ia tetap relevan dengan industri muzik kita,” katanya.

Sebagai penghargaan buat peminat, Rampage akan me­ngadakan persembahan Rampage Rempuh Live Showcase di House@G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 4 November ini jam 10 malam.

“Kami akan menyampaikan lagu daripada album ini dan lagu Kejoraku Bersatu yang dinyanyikan oleh Moq menerusi album Search berjudul Selepas Banjir.

“Persembahan kami juga akan menampilkan kumpulan Fenomena, iaitu klon kumpulan Search. Mereka adalah anak didik saya dan sebuah kumpulan yang berbakat,” katanya.

Yazit mengakui bimbang dengan tahap kesihatannya dan sudah menyiapkan pengganti sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

“Saya sentiasa berdoa agar kesihatan baik pada hari persembahan, tetapi sekiranya tak dapat bermain, tempat ini akan diisi oleh adik saya, Zahid Ahmad atau pemain dram lain yang berbakat,” katanya.
- Apakes
"Saya Tak Pandai Duduk Diam" - Yazit Ahmad "Saya Tak Pandai Duduk Diam" - Yazit Ahmad Reviewed by Lina Slayer on 19:02:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.