Sempat Menjerit Lihat Myvi Rempuh Van




SUNGAI PETANI - Salah seorang mangsa kemalangan yang mengakibatkan dua maut dan 14 cedera di kilometer 68, Jalan Alor Setar - Butterworth, Sungai Petani, dekat sini, pagi tadi, sempat menjerit ketika melihat kereta jenis PERODUA Myvi bergerak laju ke arah van dinaikinya.

Nurul Azani Ahmad, 23, antara penumpang dalam van yang dinaiki 14 orang, termasuk pemandu itu dalam perjalanan dari sebuah stesen minyak di Taman Nilam Sari dan menuju ke Tikam Batu untuk ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian, Prai.

Sebaik tiba di tempat kejadian pada jam kira-kira 6 pagi, van mereka naiki dirempuh kereta Myvi dari arah bertentangan.

Akibat kejadian itu, pemandu kereta Myvi, Mohd Fakrrurrazi Samsudin, 30 dan seorang penumpang van, Nur Izzaty Syafinas Zamri, 20, maut di tempat kejadian.

Pemandu van terbabit, Rizal Zul Izzaham Mohd Ridzuan, 31, pula parah, manakala 13 lain cedera.

Nurul Azani berkata, akibat rempuhan itu, dia terhumban ke belakang van, manakala beberapa rakan lain tercampak keluar sebelum mereka dibantu orang ramai dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tikam Batu.

"Saya terkejut melihat sebuah kereta sedang laju ke arah van kami dan saya sempat menjerit ke arah pemandu sebelum dirempuh van.

"Selepas kejadian itu, saya melihat ramai rakan bergelimpangan di atas jalan sambil mengerang kesakitan manakala Nur Izzaty terbaring di tepi van dalam keadaan sudah tidak bergerak " katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini tadi.

Sementara itu, ibu Nur Izzaty, Rohani Ahmad, 49, berkata anaknya itu baru sahaja dua minggu bekerja di kilang berkenaan bagi membantu dirinya dalam perbelanjaan harian.

Katanya, sebelum keluar pada jam 5 pagi tadi, arwah sempat menjamah tiga biji nuget ayam berikutan kelaparan.

"Sebelum keluar dari rumah, arwah beritahu dia lapar kerana selepas pulang dari kerja jam 8 malam tadi, dia tidak sempat makan kerana tertidur disebabkan terlalu letih.

"Tidak sangka selepas satu jam setengah dia keluar, saya dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

"Saya reda arwah pergi walaupun sedih kerana selepas pemergian suami empat tahun lalu, arwah banyak membantu saya, " katanya yang ditemui di HSAH, tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Assisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata dalam kejadian berlaku pada jam kira-kira 6 pagi itu, van terbabit dari arah Sungai Petani, manakala kereta berkenaan yang membawa seorang penumpang datang dari Tikam Batu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, " katanya dalam kenyataan, di sini tadi. - Apakes
Sempat Menjerit Lihat Myvi Rempuh Van Sempat Menjerit Lihat Myvi Rempuh Van Reviewed by Lina Slayer on 14:44:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.