Siasatan Polis Menjurus Unsur Penderaan Sehingga Mati




IPOH - Siasatan polis terhadap kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam tahanan kini menjurus kepada faktor kedua-dua mangsa didera secara fizikal oleh tiga suspek sehingga mengalami kecederaan mengakibatkan maut.

Ia berikutan hasil bedah siasat terhadap Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, mendapati punca kematian akibat pendarahan paru-paru akibat daripada trauma tumpul, manakala kematian Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, pula disebabkan pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata ia juga berdasarkan rakaman percakapan 11 pengawal bilik tahanan yang bertugas di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, ketika kejadian itu berlaku.

"Polis juga merakam percakapan lapan tahanan lain yang turut berada di pusat tahanan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, awal pagi tadi.

Berikutan itu, katanya, polis menahan tiga suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun yang bertugas sebagai pengawal bilik tahanan berkenaan yang bekerja syif daripada jam 10 pagi hingga 10 malam pada Jumaat lalu.

 Pada masa sama, katanya, polis merampas set rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tujuh cota berbentuk T, buku log bertugas yang juga buku perintah tetap bilik tahanan Unit Sungai Wangi dan tiga `headphone' jenama Asus, Samsung serta Huawei.

Sebelum ini, polis dimaklumkan mangsa berusia 28 tahun dikenakan hukuman selama 45 hari bermula Rabu lalu atas kesalahan tidak hadir dalam sesuatu tugas perkhidmatan, yang bertentangan dengan Seksyen 58 Akta Angkatan Tentera 1972.

Katanya, polis juga masih menunggu laporan kimia kerana mangsa turut disyaki terbabit kes penyalahgunaan dadah, manakala mangsa berusia 26 tahun pula dikenakan tahanan kerana tidak hadir bertugas tanpa kelulusan cuti.

TLDM dalam kenyataan awalnya, menyatakan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.15 petang Jumaat lalu dan memberi kerjasama penuh kepada siasatan sedang dijalankan polis bagi mencari punca sebenar kejadian terbabit.

Kenyataan itu berkata, ketika menjalani latihan dikenakan, dua anggota terbabit mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah serta sesak nafas.

"Mereka diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan dan panggilan kecemasan dibuat. Kedua-dua anggota disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang," katanya. - Apakes

Siasatan Polis Menjurus Unsur Penderaan Sehingga Mati Siasatan Polis Menjurus Unsur Penderaan Sehingga Mati Reviewed by Lina Slayer on 02:27:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.