Suspek Bunuh Anggota TLDM Didakwa Esok




IPOH - Suspek kes bunuh dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada 29 September lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Seri Manjung esok (13 Oktober) jam 9 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, dua anggota TLDM yang ditahan dalam bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia susulan pendarahan pada paru-paru dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, sebelum ini dilaporkan berkata, tujuh suspek membabitkan anggota TLDM yang bertugas sebagai pengawal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi itu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

Katanya, lima suspek berusia 29 hingga 37 tahun disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Empat lagi termasuk dua yang disiasat mengikut Seksyen 302, turut disiasat mengikut Seksyen 325/506 kanun sama bagi kesalahan mendatangkan kecederaan parah dan menakut-nakutkan secara jenayah berhubung kes mencederakan dua anggota TLDM yang lain ketika berada di pusat tahanan sama.

Reman semua suspek akan berakhir berperingkat iaitu tiga suspek tamat reman esok manakala masing-masing dua pada Sabtu dan Ahad ini. - Apakes
Suspek Bunuh Anggota TLDM Didakwa Esok Suspek Bunuh Anggota TLDM Didakwa Esok Reviewed by Lina Slayer on 15:24:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.