Suspek Bunuh Positif Dadah




IPOH - Suspek lelaki berusia 34 tahun yang ditahan kerana membunuh wanita warga Indonesia berusia 40-an ketika mangsa membersihkan rumah bapa lelaki berkenaan di Kampung Tersusun Tasek di sini semalam, positif dadah jenis Methamphetamine.

Dalam kejadian itu mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan pada bahagian muka serta belakang kepala selain tiga jari di kedua-dua tangannya putus.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata susulan penahanan suspek semalam, polis menjalankan ujian air kencing dan mendapati suspek positif dadah berkenaan.

Katanya, berdasarkan dakwaan keluarga suspek berhubung sejarah penyakit mental dialami suspek, polis mendapati kali terakhir suspek menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 27 September lalu.

"Polis mendapati memang suspek mempunyai rekod mendapatkan rawatan susulan psikiatri di HRPB," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Putih, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Isnin ini ke atas suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, suspek sendiri datang ke Balai Polis Bercham di sini dan mengakui sudah membunuh wanita itu dan meminta maaf di atas perbuatannya.

Polis yang pergi ke rumah itu menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap antara ruang tamu dan bahagian dapur. - Apakes

Suspek Bunuh Positif Dadah Suspek Bunuh Positif Dadah Reviewed by Lina Slayer on 18:46:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.