Tragedi Kepala Air




LANGKAWI - Seorang bapa tidak dapat menahan sebak sejurus ditunjukkan sehelai seluar trek dipercayai dipakai anaknya yang belum ditemui dalam tragedi 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, di sini.

Kassim Abdullah, 45, bapa kepada Siti Aishah Kassim, lima tahun, turut dilihat memeluk erat seluar trek itu yang ditemui orang ramai ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula mulai jam 7 pagi hari ini.

"Aishah.... Aishah.... Aishah....," berulang kali nama anaknya disebut oleh buruh binaan itu sejurus menyambut seluar berkenaan di tempat kejadian di sini, hari ini.

Seluar trek hitam itu ditemui sekumpulan orang ramai tersangkut pada akar kayu kira-kira 500 meter dari tempat kejadian kira-kira jam 11.15 pagi.

Ketika ditemui, Kassim mengenali seluar itu milik anaknya kerana dipakai Siti Aishah sejak awal pagi semalam.

"Pagi semalam dia (Aishah) amat manja dengan saya dan beberapa kali mencium pipi serta tidur atas riba saya.

"Saya akan berada di sini dan menanti. Apa pun saya reda dengan ketentuan Allah," katanya yang menetap di Kampung Bukit Malut, di sini.

Qistina Puteri Wira, 11, ditemui lemas jam 5.30 petang semalam, diikuti Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, pada jam 12.40 tengah malam tadi dan terakhir, Anis Shahtirah Saad, 12, pada 11.46 pagi tadi.

Siti Aishah yang juga anak bongsu dalam keluarganya, adalah mangsa tunggal belum ditemui pasukan SAR merangkumi bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, semua mangsa dilaporkan dihanyut arus deras dari puncak bukit yang membadai secara tiba-tiba. - Apakes
Tragedi Kepala Air   Tragedi Kepala Air Reviewed by Lina Slayer on 15:20:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.