Wanita Cemas Lelaki Larikan Kereta, Dua Anak




ISKANDAR PUTERI - Sebuah kereta dilarikan bersama-sama dua kanak-kanak di dalamnya ketika ibu mereka sedang mengambil payung di bahagian belakang kereta dalam kejadian di Taman Pulai Indah, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa berusia 32 sedang memberhentikan Perodua Myvi miliknya di hadapan rumah bapanya bagi menghantar dua anaknya berusia tiga dan lima tahun sebelum mengambil payung berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata namun mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik itu menyedari seorang lelaki bertopi biru tiba-tiba memasuki keretanya itu sebelum menguncinya dari dalam.

Beliau berkata, panik dengan keadaan itu mangsa terus berpaut pada kereta berkenaan ketika suspek melarikan kereta itu dengan dua anaknya.

Katanya, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di tapak tangan dan jari sebelah kanan.

"Adik lelaki mangsa kemudiannya cuba mengekori kereta terbabit dan melihat anak perempuan mangsa berusia tiga tahun ditinggalkan di tepi jalan selang beberapa lorong dari rumah bapanya.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pulai, dan pada masa sama menerima panggilan dari adiknya yang menyatakan ada seorang saksi menjumpai anak lelakinya berusia lima tahun di pintu masuk taman perumahan Pulai Indah, sebelum dihantar ke rumah bapa mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata, turut dibawa lari ialah telefon bimbit.

Katanya, kereta mangsa yang dibawa lari itu kemudian dijumpai terbabit dalam kemalangan di Ulu Choh kira-kira 8.45 pagi tadi selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori.

Bagaimanapun, Noor Hashim berkata, suspek dipercayai melarikan diri bersama-sama seorang lagi rakannya.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 363 Kanun Keseksaan. - Apakes
Wanita Cemas Lelaki Larikan Kereta, Dua Anak Wanita Cemas Lelaki Larikan Kereta, Dua Anak Reviewed by Lina Slayer on 15:19:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.