Trauma dan tertekan dengan kemelut rumah tangga dihadapi ibu bapa, semua anak penghibur terkenal, Ziana Zain mengikuti rawatan psikiatri. Mendedahkan perkara itu, Ziana berkata, dia membawa keempat-empat anaknya mendapatkan rawatan psikiatri atas nasihat doktor selepas melihat mereka murung dan tertekan.

Anak-Anak Suka Berdiam Dan Bersendirian

“Anak-anak ada yang suka berdiam dan bersendirian… Mereka trauma dengan apa yang dilalui.

“Saya sentiasa bertanya mereka. Syukur apabila anak-anak berkongsi, baru kita tahu mereka pendam perasaan selama ini… Mereka diam kerana takut,” katanya di sini, hari ini.

Ziana ditemui selepas sebutan kes perceraiannya dengan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, di Mahkamah Syariah Shah Alam, di sini.

Armin Mengaku Tidak Bersalah

Pada sesi berasingan pada sebelah pagi, Armin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan pindaan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka, Februari lalu.

Armin membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pindaan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan di bahagian tangan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam 24 Februari lalu.

Mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, Armin dan Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Ziana Failkan Penceraian

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik.

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin mengaku sedih apabila anak-anak meluahkan perasaan termasuk gembira tidak lagi tinggal serumah dengan bapa mereka.

Tambah Ziana, anak-anak menjadi takut sehingga enggan makan sekali selain bimbang dimaki termasuk ketika berada di khalayak ramai.

Anak Sulung Dan Kedua Tidak Mahu Makan Diluar

“Bayangkan anak sulung dan kedua saya enggan diajak makan di luar. Ini kerana tidak sanggup dimarah dan diherdik sesuka hati.

“Malah, mereka mengaku tidak sanggup lihat saya dimarahi tanpa sebab dan punca,” katanya.

Bintang filem Sembilu itu mendakwa perbuatan dan kekerasan yang dilakukan suaminya meninggalkan kesan mendalam terhadap anak-anak.

Bercerita lanjut, Ziana berkata, dia nekad berpisah kerana tidak dapat terus mempertahankan tembok kesabaran diri.

 

Kongsikan artikel ini.
  • 399
  •  
  •  
  •  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *