‘Kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia’ – 4 cef restoran di Jepun nekad berhenti kerja, enggan bersekongkol hidang menu tidak halal

‘Kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia’ – 4 cef restoran di Jepun nekad berhenti kerja, enggan bersekongkol hidang menu tidak halal. Empat pekerja Malaysia di Jepun mengambil keputusan untuk berhenti kerja dari sebuah restoran makanan halal di Osaka, Jepun, kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemiliknya yang menghidangkan hidangan tidak halal kepada pelanggan.

“Kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia beragama Islam yang pernah makan di restoran itu. Memang rasa bersalah sangat kerana kami tahu bahan yang disediakan seperti daging adalah tidak halal, serta sijil halal yang dipamerkan juga dibuat sendiri oleh pemilik restoran,” demikian pengakuan Hafizee Ismail, 29, salah seorang daripada empat bekas cef di restoran tersebut.

Hafizze bersama Megat Danial Aizat Megat Ariffin, 32, Mohamad Rafael Faiq Mohd Jamaluddin, 23, dan Mohd Shazuan Shafiq Mohd Hisham, 25, mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke Malaysia, Selasa lalu dan mendedahkan perkara itu selepas bertemu dengan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM.

 

Menurut Hafizze, sejak sebulan lalu, mereka mahu menceritakan perkara itu tetapi kerana memikirkan faktor keselamatan diri selain masih belum dibayar gaji, mereka terpaksa memikirkan cara lain untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di Malaysia memandangkan restoran itu menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia.

“Sebelum ini kami dimaklumkan restoran itu menyediakan menu halal dan menawarkannya kepada pelawat khususnya dari Malaysia untuk mendapatkan makanan halal tanpa was-was. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui apabila bulan lalu ketika mengambil stok bahan mentah dari kilang di Kobe, kami mendapati daging yang dikatakan halal dicampur dengan daging babi dan dipotong menggunakan mesin sama.

“Terkejut dengan keadaan itu, kami berjumpa dengan pemilik restoran berbangsa Arab dan dia berjanji akan memastikan perkara itu tidak berulang serta akan menyertu mesin tersebut untuk kegunaan restorannya.

“Bagaimanapun, ia tidak berlaku menyebabkan kami mencari jalan menghebahkannya kepada seluruh rakyat Malaysia. Harap kami, tiada lagi Muslim Malaysia tertipu dengan promosi halal di situ kerana kami sendiri lihat dan tahu bahan yang diproses dari kilang bercampur daging babi,” katanya.

Difahamkan, Hafizze bekerja di restoran itu sejak dua tahun lalu, manakala tiga lagi rakannya yang lain bekerja di situ sejak Oktober lalu.

Sementara itu, Megat Danial berkata, dia berasa curiga apabila ternampak kotak yang mempunyai label tidak halal dihantar ke restoran itu oleh pembekal, kerana sebelum ini mereka dimaklumkan restoran itu hanya menyediakan makanan halal.

Jelasnya lagi, pemilik restoran turut mempromosikan perniagaannya di Facebook dan menjadi antara restoran tumpuan pelancong dari Malaysia.

“Setiap bulan, kami menerima pelanggan antara 1,500 hingga 2,600 orang mengikut musim dan bayangkan bagaimana rasa bersalahnya kami apabila menghidangkan makanan tidak halal kepada orang Muslim sehinggakan kami nekad berhenti.

“Hujung bulan lalu, pemilik restoran mengadakan program promosi halal khusus untuk negara kita. Di situ kami bertemu wakil PPIM Zulkarnain Abdul Rahman yang kebetulan dijemput sama dan kami ceritakan perkara sebenar untuk meminta bantuan. Alhamdulillah, kami berhenti dan pulang ke Malaysia, Selasa lalu.

“Niat kami cuma untuk memastikan tiada lagi rakyat Malaysia ditipu dan kami tidak mahu bersubahat dengan pemilik yang hanya menggunakan Islam sedangkan dia tidak mempunyai sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Jepun. Itu yang dia sendiri maklumkan kepada kami,” katanya.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada JAKIM dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengetahui status sebenar isu tersebut.

“Kita anggap isu ini serius kerana membabitkan soal halal dan restoran itu menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Saya ucap terima kasih kepada empat cef ini yang berani tampil biarpun terpaksa mencari kerja lain.

“PPIM juga ingin menasihatkan kepada warga Malaysia yang ingin mencari tempat makan halal di luar negara lebih berhati-hati agar tidak ditipu mereka yang ingin mengambil kesempatan,” katanya.

Harian Metro via TheReporter

Kongsikan artikel ini.
  • 221
  •  
  •  
  •  

(Video) Dapat Tahu Cikgu 2 Bulan Tak Bergaji Dan Tinggal Di Sekolah, Pelajar Dapat Kumpul RM1,500, Usaha Mereka Buat Cikgu Ini Sebak

(Video) Dapat Tahu Cikgu 2 Bulan Tak Bergaji Dan Tinggal Di Sekolah, Pelajar Dapat Kumpul RM1,500, Usaha Mereka Buat Cikgu […]

TMJ Perli Kaw2 Menteri Sibuk Mahu Jumpa Pemain Selepas Berjaya Mara Ke Perlawanan Akhir

TMJ Perli Kaw2 Menteri Sibuk Mahu Jumpa Pemain Selepas Berjaya Mara Ke Perlawanan Akhir. Melalui entri terbaru di laman Twitter […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *