Solat Di Dalam Kapal Terbang, 5 Perkara Perkara Yang Perlu Anda Tahu!

Solat Di Dalam Kapal Terbang, 5 Perkara Perkara Yang Perlu Anda Tahu! Solat merupakan tiang agama. Amalan yang pertama sekali disoal pada hari akhirat ialah solat. Berbeza dengan ibadah-ibadah lain, solat difardukan secara langsung kepada Rasulullah SAW di langit sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj. Solat juga bertindak sebagai benteng yang dapat mencegah diri daripada perbuatan keji dan mungkar.

BACA: Bagaimana Mengamalkan Diet Yang Sihat Mengikut Cara Islam

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya: Bacalah kitab (Al Qur’an) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Ankabut 29:45)

Justeru, apabila telah masuk waktu, tunaikanlah solat. Hatta ketika di udara semasa berada di dalam kapal terbang. Walau apa pun tujuannya, sama ada melancong, menuntut ilmu atau urusan kerja, solat menjadi kewajipan utama kita.

1- Tentukan Masuk Waktu Solat

Salah satu cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat ialah dengan merujuk kepada waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Maklumat ini boleh didapati dengan merujuk kepada ‘Flight Info’ yang dipaparkan di skrin tempat duduk penumpang.

Anda juga boleh melihat warna mega merah di kaki langit, terbit atau terbenamnya matahari di langit menerusi tingkap kapal terbang.

Terkini, anda boleh juga menggunakan applikasi ‘Halal Trip App’ yang boleh dimuat turun secara percuma di peranti mudah alih anda. Ia merupakan satu cara yang mudah untuk mengetahui masuknya waktu solat di semua destinasi di seluruh dunia. Caranya ialah dengan memilih ‘In-Flight Prayer Calculator’, masukkan destinasi yang anda tuju, tarikh, serta masa pelepasan dan ketibaan. Aplikasi ini akan menunjukkan waktu solat mengikut data yang telah dimasukkan.

2- Penentuan Arah Kiblat

Menghadap ke kiblat merupakan salah satu syarat sah bagi solat. Para agamawan bersepakat sebulat suara bahawa solat wajib dilakukan sambil menghadap kiblat dari ‘Takbiratul Ihram’ hingga ke ‘Salam’.

Bagi menentukan arah kiblat di dalam kapal terbang, anda boleh memilih butang ‘Flight Info’ di paparan skrin di tempat duduk penumpang di hadapan. Lihat ‘Location Indicator’ dan arah kiblat ditunjukkan di situ. Anda juga boleh menggunakan ‘Qibla Direction’ yang terdapat dalam aplikasi Halal Trip App atau anda boleh terus bertanya kepada kabin krew .

Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran untuk kekal menghadap kiblat seperti di dalam kapal terbang yang sentiasa bergerak, memadai dengan menghadap arah yang hampir dengan kiblat.

3- Cara Ambil Wuduk

Ruang tandas di dalam kapal terbang sangat sempit. Air juga harus digunakan dalam kadar paling minima untuk mengelakkan lantai becak dan basah. Cara yang paling sesuai dan mudah ialah dengan melakukan kaedah semburan menggunakan penyembur air. Lakukanlah rukun wuduk dengan sempurna dengan memastikan air mengalir pada anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.

4- Cara Solat Di Dalam Kapal Terbang

Sebaik-baiknya, tunaikanlah dalam keadaan berdiri kerana banyak rukun fi’liyah dapat dilakukan. Kabin yang mempunyai keluasan yang besar seperti Boeing 777 atau Airbus biasanya mempunyai ruang untuk bersolat seperti di bahagian tempat duduk pramugara atau ruang penyimpanan makanan.

Namun, jika sekiranya ruang kapal terbang sempit dan kapasiti penumpang padat atau keadaan semasa yang berbahaya (contohnya kapal terbang tidak stabil), dan penumpang perlu duduk dan memakai tali pinggang keledar, tunaikanlah solat dalam keadaan duduk.

Cara-caranya ialah:

• Duduk menegakkan badan

• Niat solat lalu mengangkat takbir dan bacaan lain dalam solat

• Rukuk dengan menundukkan kepala sedikit dengan tangan diletakkan di atas lutut

• Kemudian sujud dengan dahi menyentuh kerusi hadapan

• Duduk di antara dua sujud, duduk tahiyat awal, tahiyyat akhir dan memberi salam dalam keadaan duduk seperti biasa

5- Mengulangi Solat Yang Tidak Memenuhi Syarat-Syarat Sah Dan Rukun Solat

Pertama, pendapat yang paling sahih di sisi ulama Mazhab Syafie menyatakan bahawa jika seseorang tidak dapat menunaikan solatnya mengikut kebiasaan (yakni menghadap kiblat, berdiri, rukuk, sujud, dan lain-lain), dia wajib mengulangi solat tadi setelah tiba di destinasinya.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a: Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah). (Riwayat al-Bukhari, hadis 569, Jil.2)

Sumber: Tazkirah.net

Bagaimana Mengamalkan Diet Yang Sihat Mengikut Cara Islam

Bagaimana Mengamalkan Diet Yang Sihat Mengikut Cara Islam. Mungkin anda pernah mendengar tajuk-tajuk sebegini di dada-dada akhbar dan ia membuktikan […]

Hukum Menguap & Bersin Banyak Kali Ketika Solat Yang Ramai Yang Tak Tahu!

Hukum Menguap & Bersin Banyak Kali Ketika Solat Yang Ramai Yang Tak Tahu! Bersin adalah proses untuk membersihkan rongga terutama […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *